Friday, March 19, 2010

Konfrontasi Indonesia-Malaysia


Sumber: Bernama

Artikel ini boleh digunakan sebagai tambahan dalam membuat tugasan tentang usaha penamatan Konfrontasi Malaysia - Indonesia

Malaysia terhutang budi kepada Suharto atas peranannya mengakhiri gerakan Konfrontasi Indonesia ke atas Malaysia selepas menjadi Presiden Indonesia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Dalam memberi penghormatan kepada Suharto, bekas Perdana Menteri Malaysia berkata: "Kami memandang kepadanya sebagai pemimpin ulung dan negarawan antarabangsa. Bagi diri saya, ia agak peribadi. Saya mengenalinya dan berurus dengan dia untuk tempoh sekian lama.

"Saya menganggapnya sebagai sahabat Malaysia dan rakan karib," katanya ketika mengulas mengenai pemergian Suharto kepada Bernama dan RTM di kediamannya di Seri Kembangan di sini.

Suharto, 86, meninggal dunia pada 1.10 petang ini waktu tempatan (2.10 waktu Malaysia) setelah berada dalam keadaan kritikal sejak awal pagi ini.

Beliau yang memerintah Indonesia selama 32 tahun dari 1966 hingga 1998 berada dalam keadaan kritikal sejak dimasukkan ke Hospital Pusat Pertamina, Jakarta Selatan pada 4 Januari lepas.

Dr Mahathir berkata Malaysia menghargai usaha-usaha Suharto untuk menamatkan konfrontasi yang dicanangkan oleh presiden pertama Indonesia, Sukarno, ke atas Malaysia pada 1962.

"Apa yang Malaysia menghargainya ialah semasa pemerintahan Suharto, konfrontasi pun berakhir. Wujud banyak perasaan muhibah, dan hasrat ikhlas untuk mengakhiri konfrontasi. Allahyarham menghargai hubungan baik dengan Malaysia," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau menganggap laporan media Barat sebagai "karut mutlak" menuduh Suharto dalam pembunuhan hampir 500,000 orang apabila mengambil alih kuasa selepas Komunis gagal merampas kuasa pada 30 September, 1965.

"Pada hakikatnya saya memang tahu itu. Saya tahu apa yang berlaku. Indonesia ketika itu huru-hara dan Suharto tidak mempuyai kuasa. Pada masa insiden pembunuhan, Allahyarham belum lagi menjadi presiden. Allahyarham tidak mengarahkan pembunuhan itu," katanya.

Katanya rakyat tidak seharus lupa peranan Amerika Syarikat dalam menyokong angkatan tentera Indonesia untuk menggulingkan Sukarno, ketika Barat mengkritik kepimpinannya pada tempoh konfrontasi antara 1962 dan 1966.

"Barat juga sama-sama bertanggungjawab atas perubahan berdarah kepimpinan di Indonesia. Siapa sahaja tidak harus dengan mudah menunding jari atas pembunuhan 500,000 orang sebagai kerja presiden Suharto seperti dilaporkan oleh media Barat," katanya, sambil menjelaskan bahawa Suharto sahaja yang memulihkan keadaan pada masa itu.

Dr Mahathir menghargai Suharto kerana peranan besarnya dalam membangunkan Indonesia yang mempunyai lebih 13,000 pulau dan 200 juta penduduk.

"Walaupun Indonesia bukan merupakan negara demokrasi unggul ketika masa Suharto, hakikatnya beliau membawa kestabilan kepada Indonesia. Sudah tentu, ada harga yang perlu dibayar," katanya, sambil mengakui ada sebilangan orang yang menderita di bawah pentadbiran Suharto.

Penderitaan itu mungkin menjadi lebih teruk jika Suharto tidak mengatasi keadaan huru-hara dan memulihkan undang-undang di negara keempat paling tinggi kepadatan penduduk di dunia, katanya.

Dr Mahathir berkata tidak dapat bercakap dengan Suharto ketika melawatnya di Hospital Pertamina, Jakarta Selatan, 14 Januari lalu.

"Saya fikir dia tahu kehadiran saya," katanya.

Mengenai dakwaan rasuah yang teruk semasa zaman pemerintahan Suharto, Dr Mahathir berkata: "Anda tidak boleh menyalahkan Suharto semata-mata kerana amalan rasuah memang wujud sekian lama dan ia berlaku di banyak negara.

"Juga di Malaysia, ada rasuah. Jadi untuk menyalahkan sepenuhnya ke atas dirinya, ia tidak betul," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau menikmati hubungan kerja dan hubungan peribadi yang baik dengan Suharto kerana masing-masing mampu bercakap secara ikhlas dan terbuka.

"Menang sentiasa ada beberapa pertikaian antara dua negara tetapi pertikaian itu tidak menular kepada keadaan konfrontasi. Kami ada pertikaian mengenai tuntutan kawasan walaupun kita tidak mampu menyelesaikan semua masalah.

"Kami berjaya berbual dalam suasana mesra," katanya, sambil merujuk kepada pertikaian tuntutan kepulauan Ligitan dan Sipadan.

Kedua-dua negara itu bersetuju merujuk tuntutan pertindihan itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ di Hague, Belanda, di mana mahkamah kemudian memerintahkan bahawa kedua-dua pulau itu di pantai timur Sabah itu kepunyaan Malaysia.

Khidmat Menaip Assignment Klik Sini or dapatkan contoh Assignment di Sini
Share this article :