Senarai Kursus PJJ UPM

FEM 3001 Pengantar Pembangunan Manusia
Perkembangan sepanjang hayat individu sebagai insan Tuhan. Nilai murni, fitrah, potensi dan resiliensi individu. Meneliti konteks ekologikal perkembangan individu, keluarga dan komuniti dalam menangani isu dan cabaran semasa dan masa depan.

FEM 3002 Kaedah Penyelidikan 
Pengenalan kepada rekabentuk dan analisis penyelidikan. Pengertian sains dan penyelidikan saintifik. Perancangan dan proses penyelidikan, analisis dan interpretasi data, penulisan dan penyampaian hasil penyelidikan.

FEM 3101 Psikologi Perkembangan: Kanak-Kanakdan Remaja 
Proses pertumbuhan dan perkembangan fizikal, kognitif, sosial dan emosi daripada persenyawaan sehingga akhir peringkat remaja. Penekanan kepada aspek utama setiap peringkat perkembangan. Proses dan kesan interaksi kanak-kanak-remaja dengan persekitaran.

FEM 3102 Psikologi Perkembangan: Dewasa dan Penuaan
Analisis perkembangan dewasa dan keumuran melalui perspektif jangka hayat. Membincangkan proses perkembangan asas, interaksi dan transaksi proses perkembangan asas dalam konteks sosiobudaya.

FEM 3103 Psikologi Sosial dan Persekitaran
Pengenalan kepada psikologi tingkah laku manusia. Interaksi di antara manusia dengan persekitaran. Perbincangan tentang kesan persekitaran sosial dan fizikal ke atas tingkah laku manusia.

FEM 3104 Ekologi Kerja dan Pembangunan Manusia
Penekanan kursus ialah terhadap sikap, moral, motivasi dan stail dalam penyeliaan kerja dan penyeliaan pekerja serta interaksi sosial sebagai penentu produktiviti pekerja dan kepuasan kerja; pemerhatian khas ialah kepada masalah pekerja.

FEM 3105 Tekanan dan Dayatindak
Penelitian ke atas tekanan dan dayatindak di kalangan individu. Tumpuan kepada punca tekanan (stressors) sepanjang hayat dalam pelbagai konteks, faktor yang mempengaruhi tahap tekanan, strategi dayatindak, teknik pengurusan tekanan yang holistik, pembentukan program pencegahan primer berkaitan dengan pengurangan tekanan.

FEM 3106 Polisi Sosial dan Undang-undang
Pengenalan kepada polisi sosial dan undang-undang. Polisi sosial dalam konteks pembangunan. Memahami konsep, teori perundangan dan kaitannya dengan polisi sosial. Fungsi dan proses penggubalan undang-undang. Analisis perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang dalam pelbagai konteks kehidupan manusia.

FEM 3107 Asas Penasihatan dan Kaunseling
Aplikasi pemahaman ilmu teori, kemahiran dan teknik dalam menjalankan kaunseling secara individu dan kaunseling kelompok. Falsafah, prinsip dan etika kaunseling. Kemahiran komunikasi, mendengar, mengenalpasti masalah, membina matlamat dan strategi penyelesaian masalah. Kemahiran kaunseling pelbagai setting dengan pelbagai fasa kehidupan individu dan populasi yang berlainan. Amali menjalankan sesi kaunseling yang lengkap.

FEM 3108 Perkhidmatan Sosial dan Manusia
Pengenalan kepada konsep, teori dan amalan perkhidmatan sosial dan kemanusiaan; perkhidmatan sosial dan kemanusiaan sebagai pengantara penyelesaian masalah individu, keluarga, dan komuniti; kesukarelawan, profesion dalam perkhidmatan sosial dan kemanusiaan.

FEM 4000 Isu Semasa dalam Pembangunan Manusia
Perbincangan tentang isu semasa berkaitan pembangunan manusia dalam pelbagai konteks. Pelajar menganalisis dan membentang seminar tentang isu terpilih ke arah peningkatan kualiti kehidupan.

FEM 4100 Otak dan Tingkah Laku Manusia
Kursus ini memberi penekanan kepada analisis terperinci terhadap otak dan bagaimana ianya mempengaruhi tingkah laku manusia, membincangkan struktur neuron, anatomi otak dan fungsinya, komunikasi dalam otak dan antara sistem saraf, dan bagaimana sistem saraf tersusun, dari sistem saraf pusat sehingga sistem saraf periperal dan berkerja sama untuk membantu manusia dalam bertindak balas terhadap peristiwa normal dan tekanan.

FEM 4101 Motivasi dan Pencapaian Manusia
Kursus ini membincang pelbagai teori motivasi, prinsip dan proses pencapaian, serta perkaitan antara emosi, motivasi dan tingkah laku yang membawa ke arah pencapaian manusia. Aplikasi teori motivasi dalam menjelaskan pencapaian manusia turut dibincangkan.

FEM 4102 Kognisi dan Bahasa
Kursus ini memberi pengenalan kepada perkembangan psikolingusitic dan psikologi kognisi serta perbincangan mengenai perkaitan antara proses bahasa dengan proses kognisi dalam konteks pembangunan manusia

FEM 4103 Psikologi Tingkah Laku Sosial dan Interpersonal
Kursus ini membincangkan psikologi tingkah laku sosial dan interpersonal. Pengaruh hubungan sosial dan interpersonal serta aplikasi psikologi sosial dan kemahiran interpersonal turut dibincangkan.

FEM 4104 Psikopatologi Kanak-kanak dan Keluarga
Kursus ini membincangkan psikopatologi kanak-kanak dan keluarga dengan memberi penekanan ke atas tingkah laku abnormal, penyebab, akibah dan rawatan. Tumpuan juga diberi kepada peranan individu, keluarga dan masyarakat yang membantu individu mengalami masalah psikopathologi.

FEM 4105 Psikologi Personaliti dan Dinamik Manusia
Kursus ini menganalisis pelbagai pendekatan dalam kajian personaliti. Penekanan juga diberikan ke atas teori-teori personaliti yang berbeza dan alat pengukuran personaliti. Serta analisis perhubungan di antara psikologi personaliti dan dinamika.

FEM 4111 Bimbingan dan Penasihatan Kelompok
Kursus ini menjelaskan kerja kelompok, jenis kelompok bimbingan, faedah dan dinamik kelompok. Penekanan diberi ke atas kemahiran fasilitatif ketua kelompok, proses pembentukan dan penamatan kelompok berstruktur. Pelajar turut belajar melalui pengalaman dalam aktiviti kelompok bimbingan berstruktur dalam sesi amali.

FEM 4112 Penilaian Dalam Bimbingan dan Penasihatan
Kursus ini menjelaskan fungsi penilaian dalam bimbingan dan penasihatan, jenis penilaian dalam bimbingan dan penasihatan, pemilihan alat penilaian dan ujian, prosedur pentadbiran instrumen penilaian standard, proses pentafsiran, terapan hasil penyelidikan, etika dan isu penggunaan instrumen penilaian.

FEM 4113 Bimbingan dan Penasihatan Kerjaya
Kursus ini memberi pemahaman mengenai teori perkembangan kerjaya, faktor pengaruh pemilihan kerjaya, proses perancangan kerjaya dan kepuasan kerjaya. Strategi pencarian maklumat dan perancangan program bimbingan kerjaya turut dibincang.

FEM 4114 Bimbingan Kanak-Kanak dan Remaja 
Kursus ini memberi tumpuan kepada kaedah bimbingan individu dan kelompok dalam perkembangan aspek psikososial kanak-kanak dan remaja. Pendekatan individu dan kelompok dalam membentuk perlakuan positif di kalangan kanak-kanak dan remaja turut dibincangkan.

FEM 4115 Penasihatan Perkahwinan dan Keluarga
Kursus ini menjelaskan prinsip, tujuan, pendekatan dan teknik penasihatan perkahwinan dan keluarga. Kaedah pengendalian sesi penasihatan, aspek keluarga yang memerlukan penasihatan serta isu-isu dalam penasihatan perkahwinan dan keluarga turut dibincangkan.

FEM 4120 Sistem Perundang-undangan Malaysia
Pendedahan kepada sistem perundang-undangan Malaysia. Membincangkan sumber undang-undang Malaysia seperti undang-undang Islam, undang-undang Inggeris, undang-undang Adat dan keputusan kehakiman; proses penggubalan undang-undang dan pentadbiran keadilan.

FEM 4121 Undang-undang Keluarga 
Pendedahan kepada undang-undang perkahwinan dalam konteks undang-undang keluarga di Malaysia.Perbincangan menekankan kepada aspek kesahan perkahwinan, undang-undang domisil, pembatalan perkahwinan, kesan perkahwinan terhadap legal status, bigami, poligami serta prosedur dan formaliti perkahwinan.

FEM 4122 Undang-undang Keluarga II 
Kursus ini memberi tumpuan kepada perlaksanaan undang-undang perceraian di Malaysia. Tajuk berkaitan pembubaran perkahwinan, jenis perceraian, prosedur perceraian dan bidangkuasa mahkamah, perintah-perintah sampingan dan penjagaan anak. Analisis kes perceraian mahkamah syariah dan sivil.


FEM 4123 Advokasi Kanak-kanak dan Keluarga
Kursus ini memberi tumpuan kepada aplikasi pendekatan multi-disiplin dalam isu kanak-kanak dan keluarga seperti penderaan, konflik keluarga, juvenil delinkuen, konflik dan keganasan keluarga. Analisis isu semasa berkaitan advokasi kanak-kanak dan keluarga.

FEM 4124 Undang – undang Harta 
Kursus ini membincangkan konsep pemilikan harta, jenis-jenis harta, urusniaga hartanah, pembahagian harta perkahwinan, harta wasiat, harta pusaka, harta hibah dan wakaf. Analisis terhadap pentadbiran dan perlaksanaan undang-undang harta.

FEM 4130 Kurikulum Program Kanak-kanak Peringkat Awal
Kursus ini mengkaji dan menilai pelbagai kaedah pengajaran berasaskan pada prinsip dan falsafah kurikulum untuk kanak-kanak. Pelajar juga didedahkan kepada perancangan dan pembentukan kurikulum yang sesuai dengan keperluan dan tahap perkembangan kanak-kanak, latihan dalam pembentukan kurikulum kanak-kanak, penjadualan dan penyediaan alat bantu mengajar serta penglibatan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak.

FEM 4131 Strategi Pengajaran-Pembelajaran Efektif untuk Kanak-kanak
Kursus ini membincang pelbagai teori dan aplikasi penyelidikan dalam strategi pengajaran-pembelajaran untuk kanak-kanak dan meneliti proses pengajaran dengan memahami cara pembelajaran yang paling efektif untuk kanak-kanak serta persekitaran yang dibentukkan oleh guru, ibu bapa dan rakan sebaya untuk menyokong proses pembelajaran.

FEM 4132 Perancangan dan Pentadbiran Program Kanak-kanak Peringkat Awal 
Kursus ini membincang sejarah dan perkembangan program peringkat awal kanak-kanak. Penubuhan, pembangunan staf, falsafah dan matlamat, pentadbiran dan pengurusan, pendekatan dan organisasi program, persekitaran fizikal, perancangan menu serta keperluan pemakanan, keselamatan dan kesihatan kanak-kanak serta program yang berkualiti turut dibincang.

FEM 4133 Penilaian Perkembangan Kanak-kanak
Kursus ini memberi pededahan kepada pelajar mengenai penggunaan alat pengukuran dan penilaian dari perspektif perkembangan kanak-kanak termasuk kaedah pemerhatian, penilaian formal dan tidak formal. Isu etika dalam menginterpretasi maklumat penilaian termasuk justifikasi pemilihan dan penggunaan sesuatu alat juga turut dibincangkan.

FEM 4134 Program Literasi Komputer untuk Kanak-kanak
Kursus ini mendedahkan pelajar kepada teknik dalam pembentukkan program literasi komputer untuk kanak-kanak and meneliti isu kritikal dalam penggunaan komputer di kalangan kanak-kanak. Tumpuan akan diberi kepada komponen literasi komputer, teknik dalam pengajaran literasi komputer untuk kanak-kanak, penilaian perisian kanak-kanak, aktiviti komputer berbentuk suai-perkembangan dan integrasi komputer dalam kelas.

FEM 4135 Intervensi Awal untuk Kanak-kanak
Kursus ini meneliti corak penjagaan dan perkhidmatan untuk kanak-kanak istimewa di bawah umur tiga tahun. Penumpuan diberikan kepada perancangan, kurikulum, penglibatan keluarga, transisi dan penilaian program.

Comments

Popular posts from this blog

Apa itu IV dan DV dalam proposal atau tesis anda?

Khas Untuk PJJ

PRINSIP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK